Permulaan
Sejak tahun 2015, saya mula obses dengan bercucuk tanam. Asalnya hanya untuk melepaskan tension sebab boleh pukul tanah dan libas parang kat pokok, tetapi lama-kelamaan saya lebih seronok dengan aspek menjaga pokok dari kecil hingga besar.
Saya bukanlah seorang pakar hortikultur atau agrikultur atau kulinari. Latarbelakang saya sangat jauh sekali – “kelulusan kertas” dalam kejuruteraan eletrik dan eletronik.
Pengalaman kerja tidak pernah keluar daripada bidang teknologi maklumat (IT) sebagai programmer. Jujurnya saya dah letih dan ingin buat benda lain.
Pada musim pandemik, saya terfikir untuk buat website Tanamlah.com untuk kongsi pengalaman. Dah lama saya terfikir untuk blogging tapi tak tahu nak tulis pasal apa.
Alhamdulillah ribuan yang membaca setiap bulan walaupun tak sampai 10 artikel saya tulis. Seronok tengok statistik visitors tu.
Persimpangan
Malangnya, selepas dunia kembali ke normal, jumlah pembaca artikel bercucuk-tanam menurun. Sebab dah boleh keluar rumah agaknya. Nak sayur atau buah pergi je supermarket kan.
Betul juga, tak ramai ada ruang untuk berkebun. Yang ada ruang, mungkin tak ada masa atau tenaga lebihan. Lagipun berkebun ni panas. Nak berpeluh, baik keluar jogging atau main futsal ke.
Namun begitu, saya perasan satu artikel resepi iaitu Resepi Spaghetti Bolognese, yang tidak ada kena-mengena dengan tajuk tanaman, dapat 5-10x jumlah pembaca dengan konsisten. Saya suka-suka sahaja tulis dulu sebab dah tak ada idea.
Keputusan
Dari situ saya terfikir: majoriti kediaman ada dapur. Semua orang perlu makan. Kebelakangan ini, harga kedai makan semakin naik. Jadi mungkin ada manfaat kalau saya tukar fokus website ini kepada resepi masakan.
Memang hobi memasak lebih lama daripada hobi bercucuk tanam. Kadang-kadang suka buat resepi sendiri, tetapi selalu lupa sebab tak catat. Rugi jugak lah.
Jadi sebenarnya lebih kepada kegunaan saya sendiri, tetapi kalau ada ramai orang baca lagi seronok. Mungkin satu hari nanti, saya tukar nama website ni daripada Tanamlah kepada yang lebih sesuai.